About Me

My photo
'Sesungguhnya manusia itu tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan sifat lupa'

Tuesday, March 31, 2009

Ketika dan Kalimat-'pelajar yang duduk belakang sekali tolong bangun'

“Pelajar yang duduk belakang sekali tolong bangun”

Minggu berikutnya, pada hari Rabu aku dan kawan-kawan yang lain pergi ke kelas BBM 3410 seperti kelas-kelas lain. Aku akui bahawa aku bukanlah pelajar yang begitu baik. Di dalam kelas, aku memang amat jarang untuk memenuhi kerusi-kerusi kosong yang terletak di hadapan. Aku lebih gemar memilih tempat duduk di barisan belakang kerana aku lebih selesa apabila duduk di barisan belakang. Oleh yang demikian, tanpa teragak-agak aku terus memilih tempat duduk yang belakang. Suasana di dalam kelas pada ketika itu agak bising. Maklumlah, baru minggu kedua hadir ke kuliah. Jadi, sudah pasti masih banyak cerita dari rumah yang hendak dikongsikan bersama rakan-rakan yang lain. Setiap pelajar yang ada pada ketika itu sedang asyik bercerita tanpa menyedari bahawa Dr. Normaliza sedang menuju ke arah kelas tersebut.

Sedang asyik berbual, tiba-tiba pintu bilik Jauhari yang tertutup rapat itu terbuka. Serentak dengan itu, masuk seorang wanita yang tidak asing lagi bagiku. Beliau yang aku maksudkan ialah Dr. Normaliza binti Abd. Rahim. Selepas meletakkan fail yang dibawa ke atas meja, beliau terus berdiri di rostrum. Keadaan kelas yang tadi bising tiba-tiba berubah menjadi senyap tanpa ada satu suara pun yang berbunyi.

“Assalamualaikum”
Bicara pertama yang dilafazkan oleh Dr. pada ketika itu. Salam dijawab dengan tenang pada ketika itu.
“pelajar yang duduk belakang sekali tolong bangun”
“Tolong penuhkan tempat kosong dihadapan. Saya tak suka tengok tempat kosong kat depan ni. Kalau awak semua tak nak tukar tempat saya potong markah kamu semua”.
Mendengar ugutan untuk memotong markah, maka pelajar-pelajar yang duduk di belakang tadi dengan pantas bangun untuk merebut tempat kosong yang masih ada di hadapan. Suasana di dalam kelas ketika itu agak bising seketika. Pelajar yang sudah sedia ada di tempat duduk barisan hadapan hanya ketawa melihat kawan-kawan yang berebut-rebut untuk memenuhi tempat duduk yang masih kosong di barisan hadapan.

Namun, malang sungguh bagi diriku kerana aku tidak berjaya merebut tempat kosong tersebut. Aku pasrah lalu kembali duduk di tempat asalku. Suasana yang tadinya bising kembali senyap.

“pelajar yang masih duduk kat belakang sila bangun dan sebutkan nombor matrik awak”.
Arahan yang diberikan oleh Dr. begitu jelas dan tegas sekali.
Aku hanya mampu bangun lalu menepuk dahi tanda kesal kerana tidak dapat merebut tempat untuk duduk di barisan hadapan.
“137356”
Jawabku, juga dengan jelas.
“sekali lagi saya tengok awak duduk dekat belakang, saya potong markah awak ye. Kelas, saya tak suka pelajar yang duduk kat bahagian belakang. Nampak awak tak bersungguh-sungguh kalau awak duduk kat belakang”.

No comments:

Post a Comment