About Me

My photo
'Sesungguhnya manusia itu tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan sifat lupa'

Tuesday, March 31, 2009

Ketika dan Kalimat-Indahnya Di Universiti

Indahnya di Universiti

Aku bernama Radzwa binti Jayis. Aku mula melangkah masuk ke Universiti Putra Malaysia pada tanggal 1 Julai 2006. Aku merupakan salah seorang pelajar B.A (Pengkhususan Bahasa dan Linguistik Melayu). Aku mengambil jurusan ini kerana minatku yang mendalam terhadap Bahasa Melayu. Jurusan ini merupakan jurusan pertama pilihanku semasa aku mengisi borang kemasukan pelajar ke IPTA selepas tamat tingkatan enam. Pertama kali melangkah masuk ke UPM aku berasa begitu bersyukur kepada Allah kerana impian yang aku idamkan akhirnya menjadi kenyataan.

Namun, tidak dapat aku nafikan bahawa belajar di universiti jauh berbeza dengan belajar di sekolah dahulu. Belajar di universiti memerlukan aku untuk menjadi seorang pelajar yang berdikari. Segala maklumat perlu dicari sama ada di papan kenyataan ataupun di Pejabat Am fakulti. Jika di sekolah dahulu, sagala maklumat yang penting akan disampaikan oleh guru-guru kepada para pelajar. Dengan itu, para pelajar tidak perlu bersusah-payah untuk mencari segala maklumat penting. Namun fenomena sedemikian tiada lagi di universiti. Siapa yang lalai dan terleka untuk mendapatkan maklumat pasti akan ketinggalan. Semester pertama belajar di UPM begitu menyeronokkan. Bagiku kerja-kerja dan semua tugasan yang diberikan dapat aku selesaikan dalam jangka masa yang ditetapkan. Selain itu juga, belajar di universiti bagiku agak mudah kerana pensyarah yang mengajar tidak seperti guru-guru di sekolah yang sentiasa mengawal kehadiran pelajarnya. Sebaliknya, di universiti pensyarah memberikan kepercayaan seratus peratus kepada pelajar untuk hadir ke kelas. Sepanjang lima semester belajar di UPM tiada seorang pensyarah pun yang begitu tegas dalam hal-hal yang berkaitan dengan kehadiran pelajar ini. Aku juga pernah mengambil kesempatan untuk ponteng kelas. Namun aku masih berhati-hati agar kehadiranku cukup 80% agar aku boleh mengambil peperiksaan akhir. Selain itu, belajar di universiti juga tidak begitu terkawal oleh pensyarah. Hal ini begitu berbeza dengan keadaan di sekolah. Semasa di sekolah, sekiranya terlambat datang ke kelas, sudah pasti ada pengawas yang akan menjaga pagar dan mencatat nama pelajar yang lewat. Tetapi, di universiti lain pula keadaannya. Sekiranya pelajar lewat hadir ke kelas, pelajar tersebut masih boleh masuk ke kelas tanpa sebarang rasa bersalah. Pada mulanya aku berasa sungguh pelik melihat keadaan itu. Namun, akhirnya aku mula terbiasa dengan keadaan itu sehingga kadang-kadang aku turut tergolong dalam golongan pelajar yang datang lambat ke kelas. Walaupun lewat hampir setengah jam namun aku masih boleh masuk ke kelas tanpa dimarahi oleh pensyarah yang sudah mula mengajar waktu itu. Aku menjadi begitu seronok dan teruja dengan keadaan ini. Antara sedar ataupun tidak, aku sudah berada selama lima semester di universiti. Segalanya aku anggap mudah kerana aku tidak lagi dikawal atau didenda sekiranya melakukan kesalahan yang kecil.



No comments:

Post a Comment